Ruang Berita Terkini

26.07.2014

Fasa kedua pembinaan jalan Kampung Rayang-Munggu Kupi-Tanah Puteh-Sebemban sedang rancak dijalankan.

15.02.2013

Jalan Kampung Rayang-Munggu Kupi-Tanah Puteh-Sebemban kini dalam proses pembinaan. Jalan sepanjang 12km bernilai RM60 juta ini adalah dalam fasa pertama pembinaannya. Fasa pertama adalah dari KM55 Jalan Utama Kuching Serian sehingga Sumpon Baak. Fasa seterusnya bermula dari Sumpon Baak. Kontraktor yang bertanggungjawab dengan projek berkenaan iaitu Shin Yang adalah bertanggungjawab membaiki jalan kampung yang terjejas oleh kerja-kerja pembinaan jalan kerana ia adalah terkandung dalam spesifikasi kerja. Walaubagaimanapun faktor cuaca melambatkan kerja-kerja tersebut.

Jambatan baru Kampung Rayang sepatutnya sudah giat dijalankan. Kontraktor yang memperolehi tender iaitu Titanium memaklumkan bahawa kerja pembinaan terbantut kerana pihak JKR belum memindahkan sistem paip. Pihak Telekom dan Sesco walaubagaimanapun difahamkan telah memindahkan kabel telefon dan kabel elektrik.

Dewan Serbaguna Kampung Rayang akan dibina fasa demi fasa kerana peruntukan tidak dapat diberi sekaligus.

Monday, 11 November 2013

Peristiwa Bergambar

Kutong Limpinang
Ban Kutong Bocor Bayuh Kiye


Parit Kutong De Mbeh Sisan

Gambar Parit Kutong Mbeh Sisan Mon Mamen Luah Ndeg Sungi
Ratus Nakep Ikan De Kutong Limpinang

Bangih Parit Kutong De Mbeh Sisan

           Simayang Kubur Wang 2 November 2013

Monday, 8 August 2011

SEJARAH KAMPUNG RAYANG

                Pada awal tahun 1820an, sekumpulan keluarga yang berketurunan Bidayuh Semabang, berangkat dari Kampung Seroban, Serian menyeberang Batang Kayan (Batang Sadong) dan sampai ke Sungai Sigahung. Keluarga-keluarga tersebut adalah keluarga Babuk Mangkai, Babuk Tagau, Babuk Budut dan Babuk Timil. Mereka mendirikan rumah deret atau rumah panjang (punok atau ntangan) dekat dengan nanga Sungai Krikap dan Pengkalan Majau. Mereka mencari makan dengan menanam padi, memburu dan menangkap ikan di sekitar penempatan itu. Selepas beberapa tahun, mereka diserang wabak penyakit yang menyebabkan banyak kematian dan mereka pun berpecah. Sekumpulan mudik ke hulu hingga ke nanga Sungai Rayang, manakala sekumpulan lagi balik ke Kampung Seroban dan ke Kampung Ampungan.

                Selain menanam padi bukit dan padi paya, mereka juga menanam pokok buah-buahan seperti durian, langsat, cempedak, rambai, 'limpiuh', manggis, 'terap', 'embang', 'langgir', 'piruntan', 'entawa', engkabang dan getah liar atau jelutong di tanah bekas menanam padi. Pokok 'langgir', rambai dan 'limpiuh' biasanya mengambil masa empat puluh tahun hingga lima puluh tahun untuk menghasilkan buah manakala yang lainnya sekitar tujuh tahun ke dua puluh tahun untuk berbuah.

                Keluarga Babuk Mangkai dan Babuk Tagau balik ke Kampung Seroban, manakala Babuk Timil ke Kampung Ampungan dan Babuk Budut ke hulu Sungai Rayang. Keluarga Babuk Budut sering berpindah-randah di sekitar Sungai Rayang dan disebabkan wabak penyakit dan ketidakserasian maka keluarga mereka masih tidak ramai.

                Nama Sungai Rayang, mengikut cerita orang tua, diambil dari perkataan ‘rayang’ atau ‘rayek’ yang bermaksud air liur. Ceritanya bermula apabila sekumpulan lelaki mudik untuk menangkap ikan sambil berburu. Sedang mereka berehat berdekatan dengan mata air di hulu sungai tersebut, datang seekor rusa yang terkeluar air liurnya dan menjilat sambil minum air yang menitis dari mata air itu. Maka mereka pun menamakan sungai yang mereka susuri tadi dengan nama Sungai Rayang.

                Sehingga sekitar tahun 1850an, Tagau (cucu kepada Babuk Tagau), Mangkai (cucu kepada Babuk Mangkai) dan Barau (cicit kepada Babuk Mangkai) berhijrah balik ke Kampung Seroban atau Kampung Ruban ke hulu Sungai Rayang bersama anak cucu mereka dan juga sanak saudara dari Kampung Seroban untuk bersama keluarga Babuk Budut untuk mendirikan ‘punok’ atau rumah panjang yang dahulunya dipanggil Mirayang.Penempatan ini kemudiannya mereka namakan Kampung Rayang bersempena dengan nama Sungai Rayang. Mereka melantik Orang Kaya Tagau sebagai Ketua Kampung.

                Pada masa yang sama, Luga bersama keluarga dari Kampung Gahat Mawang, yang juga berketurunan Bidayuh Semabang, datang untuk mendirikan pondok mereka di Kampung Rayang. Apabila sekumpulan ibu-ibu mudik mencari ikan dengan bakul rotan segi tiga (sakei), mereka mendapati ‘pendam’ atau tanah perkuburan lama (pingiren damba) di Pulau Bungkang yang terletak di sebelah hulu Kampung, maka mereka pun setuju untuk berpindah ke hulu sungai.

                Maka pada sekitar tahun 1880an mereka berpindah ke persimpangan antara Sungai Baih dan Sungai Rayang di mana mereka mendirikan tiga buah rumah panjang yang berjumlah lebih kurang tiga puluh pintu semuanya. Mereka melantik Barau (cicit Babuk Mangkai) sebagai Ketua Kampung yang kemudiannya digantikan oleh Orang Kaya Buri (cucu Tagau) dari tahun 1910 hingga ke tahun 1940.

                Peristiwa yang sering diceritakan oleh orang tua-tua: Pada tahun 1883, waktu berlakunya letusan Gunung Berapi Krakatoa atau lebih dikenali sebagai ‘Lampong Pecah’ oleh penduduk tempatan, Kampung Rayang telah pun berpenghuni , iaitu Keluarga Tagau, Luga, Barau, Mangkai dan Babuk Budut. Mereka membawa keluarga mereka berpindah dari Kampung Seroban pada awal tahun 1850an. Malah Ketua Kampung Buri, cucu Tagau juga lahir di Kampung Rayang pada sekitar awal tahun 1880an.

                Pada tahun 1941 hingga 1948 semasa pemerintahan Jepun, Ladung anak Buri dilantik sebagai Ketua Kampung untuk menggantikan bapa beliau. Beliau melepaskan jawatannya dan digantikan oleh Ketua Kaum Sungam Anak Tipas yang memegang jawatan Ketua Kaum dari tahun 1948 hingga 1999.

                Peristiwa yang selama ini sering diperkatakan atau menjadi buah mulut orang tua dan muda, adalah sewaktu Ketua Kaum Ladung Anak Buri disoalsiasat oleh Tuan Kimura (tentera Jepun) berkenaan kesalahan yang dibuat oleh orang kampung, beliau dipaksa meminum sebaldi air atau segelen besar air.

                Pada awal tahun 1950an, mereka merobohkan rumah panjang yang lama kerana mereka percaya rezeki mereka akan lebih murah kalau menukar posisi dan arah rumah panjang. Semenjak itu penduduk kampung semakin bertambah dan kawasan untuk mendirikan rumah sudah tidak mencukupi. Oleh itu ada yang mendirikan ‘punok’ masing-masing, satu di ‘tinting’ Punok dan ada yang mendirikan ‘punok’ mereka di kawasan Mawang Bari. Yang di ‘tinting’ Punok balik ke Rumah Panjang baru dan kemudiannya di panggil Kampung Rayang Mawang. Manakala yang dari Mawang Bari terus berpindah ke Kampung Rayang Tabes.

                Tahun 1956 adalah titik permulaan pengambilan pertama masuk ke darjah satu sekolah venakular di Kampung Rayang. Sekolah ini dinamakan Kampung Rayang Primary School dibawah naungan Ulu Sadong District Council dan kemudiannya menjadi Sekolah Rendah Kerajaan Rayang (sekarang dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Rayang).

                Pada awal tahun 2000, satu majlis pemilihan calon telah diadakan untuk menggantikan Ketua Kaum Sungam Anak Tipas yang telah meninggal dunia pada tahun 1999. Pada masa peralihan. Pengerusi JKKK, Encik Dris @ Harry Mien Anak Pedam memangku jawatan Ketua Kaum sehingga Encik Janen Anak Mambang dilantik menjadi Ketua Kaum yang baru pada 18.04.2001. Encik Janen Anak Mambang menjadi Ketua Kaum sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2004.

                Pada masa peralihan kali ini, Pengerusi JKKK, Encik Laurantious Akum memangku jawatan Ketua Kaum sehingga majlis pemilihan Ketua Kaum yang baru memilih Encik Jim Bujang Anak Gam sebagai Ketua Kaum yang baru. Encik Jim Bujang Anak Gam memegang jawatan sebagai Ketua Kaum pada tahun 2004 hingga sekarang.

                Oleh kerana kawasan Kampung Rayang sudah padat dengan rumah, maka empat puluh enam keluarga kembali ke Kampung Rayang Punok untuk mendirikan rumah. Lapan belas keluarga lagi mendirikan rumah mereka di tempat lama iaitu di Kampung Rayang Mawang. Mengikut perangkaan tidak rasmi pada tahun 2008, penduduk Kampung Rayang adalah berjumlah 1589 orang dan jumlah keluarga pula adalah 286 buah.

(Maklumat diperolehi dari Buku Profil Kampung Rayang 2010)

Padi Huma

Padi Huma

Total Pageviews

About Me

My photo
A man with many interests and takes almost anyone as a friend.Loves to learn and try new ideas.